Friday, August 13, 2010

10 hal yang mendatangkan cinta Allah




Saudaraku, sungguh setiap orang pasti ingin mendapatkan cinta Allah. Namun bagaimanakah cara untuk mendapatkan cinta tersebut? Ibnul Qayyim Rahimahullah menyebutkan beberapa hal untuk menerangkan maksud perkara tersebut dalam kitab beliau Madarijus Salikin , tahap-tahap menuju wahana cinta kepada Allah adalah seperti berikut:


1) Membaca al-Qur’an dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar.

Itu tidak lain adalah renungan seorang hamba Allah yang hafal dan mampu menjelaskan al-Qur’an agar difahami maksudnya sesuai dengan kehendak Allah SWT. Al-Qur’an merupakan kemuliaan bagi manusia yang tidak boleh ditandingi dengan kemuliaan apapun. Ibnu Sholah mengatakan

“Membaca Al-Qur’an merupakan kemuliaan, dengan kemuliaan itu Allah ingin memuliakan manusia di atas makhluk lainnya. Bahkan malaikat pun tidak pernah diberi kemuliaan seperti itu, malah mereka selalu berusaha mendengarkannya dari manusia”.

Perkara ini boleh dilakukan umpama seseorang memahami sebuah buku iaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku. (Maka begitu pula yang dapat dilakukan terhadap Al Qur’an)


2)Mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat, setelah mengerjakan ibadah-ibadah wajib.


Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sementara orang yang menunaikannya kemudian menambahnya dengan ibadah-ibadah sunat, mereka itu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah, diantaranya adalah solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, sedekah sunat dan amalan-amalan sunat dalam haji dan umrah.

3)Terus-menerus mengingat Allah (zikir) dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya.
Kadar kecintaan seseorang terhadap Allah bergantung kepada kadar zikirnya kepada-Nya. Zikir kepada Allah merupakan syiar bagi mereka yang mencintai Allah dan orang yang dicintai Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah aza wajalla berfirman :”Aku bersama hambaKu selama ia mengingatKu dan kedua bibirnya bergerak (untuk berzikir) kepadaKu”.



Ingatlah, kecintaan pada Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan zikir kepada-Nya.


4)Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri walaupun dikuasai hawa nafsunya.


Melebihkan cinta kepada Allah daripada cinta kepada diri sendiri, meskipun dibayangi oleh hawa nafsu yang selalu mengajak lebih mencintai diri sendiri. Ertinya ia rela mencintai Allah meskipun berisiko tidak dicintai oleh makhluk dan harus menempuh berbagai kesulitan. Inilah darjat para Nabi, diatas itu darjat para Rasul dan diatasnya lagi darjat para rasul Ulul Azmi, lalu yang paling tinggi adalah darjat Rasulullah Muhammad s.a.w. sebab baginda mampu melawan kehendak dunia seisinya demi cintanya kepada Allah.

5)Merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah.


Begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. Barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka dia pasti mencintai Allah. Oleh karena itu, mu’athilah, fir’auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah), jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (kerana mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut).

6)Memerhatikan kebaikan, nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir mahupun batin akan mengantarkan kita kepada cinta hakiki kepada-Nya.


Tidak ada pemberi nikmat dan kebaikan yang hakiki selain Allah. Oleh sebab itu, tidak ada satu pun kekasih yang hakiki bagi seorang hamba yang mampu melihat dengan mata batinnya, kecuali Allah SWT. Sudah menjadi sifat manusia, ia akan mencintai orang baik, lembut dan suka menolongnya dan bahkan tidak mustahil ia akan menjadikannya sebagai kekasih. Siapa yang memberi kita semua nikmat ini? Dengan menghayati kebaikan dan kebesaran Allah secara lahir dan batin, akan mengantarkan kepada rasa cinta yang mendalam kepadaNya.

7) Menghadirkan hati secara keseluruhan (total) semasa melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya inilah yang disebut dengan khusyu’.


Hati yang khusyu’ tidak hanya dalam melakukan solat tetapi dalam semua aspek kehidupan ini, akan mengantarkan kepada cinta Allah yang hakiki.

8)Menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir.


Di saat itulah Allah SWT turun ke dunia dan di saat itulah saat yang paling berharga bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Qur’an) dan solat malam agar mendapatkan cinta Allah. Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya.

9)Bergaul bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para siddiqin.


Kemudian memetik perkataan mereka yang seperti buah yang begitu nikmat. Kemudian dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahawa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain.


10)Menjauhi segala sebab yang dapat menghalang komunikasi antara dirinya dan Allah SWT.


Semoga kita sentiasa mendapatkan cinta Allah, itulah yang seharusnya dicari setiap hamba dalam setiap degup jantung dan setiap nafasnya.
Ibnul Qayyim mengatakan bahawa "kunci untuk mendapatkan itu semua adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati."

Friday, July 16, 2010

Muslimah vs jatuh cinta?





Umum kita sudah mengetahui bahawa berpasangan, bercinta, couple selain daripada hubungan sah suami isteri dan apa sahaja istilah yang seerti dengannya adalah haram di sisi agama kita Islam. Walau bagaimanapun, jika kita lihat pada generasi kita yang bergelar remaja sekarang, ramai yang hanyut dalam arus percintaan. Setelah terngadah baru tersedar bahawa cinta yang terbina itu memakan diri sendiri. Cinta yang terjalin tadi akhirnya sia-sia, punah seribu harapan, impian, dan janji-janji.

Nasi sudah menjadi bubur, penyesalan memang akan tetap singgah. Kesunyian akan menerpa. Namun ingat wahai muslimah! Jangan pernah berkata yang hati anda kosong hanya kerana 'I have no boyfriend’ sebab Allah tetap ada. Kembalilah bersujud kepada-Nya. Tanamkan kepercayaan kepada-Nya.

Sememangnya jodoh itu ketentuan Ilahi, tetapi kita pernah mendengar bahawa peluang tidak datang bergolek, begitu juga dengan jodoh. Berdoa juga adalah satu usaha, jadi berdoalah kepada-Nya moga dipertemukan dengan lelaki yang baik dan soleh. Ingat! Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik, bukannya lelaki yang hensem untuk perempuan yang cantik dan sebaliknya.

Jangan berasa rendah diri, ingatlah bahawa segala yang diciptakan Tuhan adalah cantik. Jika inginkan jodoh yang baik, perbaikilah diri anda, muhasabahlah diri, hentikan perkara yang dilarang-Nya dan kerjakan segala perintah-Nya selagi pintu taubat masih terbuka luas. Di sini, sekadar ingin mengutarakan pendapat dan berkongsi tips kepada para muslimah, jangan jadikan kegagalan cinta sebagai penamat hidup anda. Teruskanlah berusaha kerana dirimu begitu berharga.


TIPS MENGATASI PUTUS CINTA:


1. Kembali kepada-Nya – Banyakkan beribadah termasuk melakukan amalan sunat. Luangkanlah lebih masa dengan-Nya.

2. Sentiasa ingat jodoh itu ketentuan Allah - anggap semua yang berlaku adalah ujian daripada Allah dan ada hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Allah tidak menurunkan ujian jika hamba-Nya tidak mampu untuk menanggungnya. Bersabarlah.

3. Meminta nasihat ibu bapa atau orang terdekat – Ibu bapa adalah yang terbaik dalam memberikan nasihat kerana sudah merasa asam garam kehidupan dan tahu apa yang terbaik untuk kita. Jika berasa malu atau takut untuk meminta nasihat daripada ibu bapa, sekurang-kurangnya berkongsilah masalah anda dengan orang yang terdekat dan rapat seperti kawan baik. Jangan pendamkan di dalam hati, nanti semakin merana diri.

4. Buang semua tentang si dia – Jika anda tidak sanggup membuang kenangan anda berdua, letaklah jauh dari sudut penglihatan anda supaya anda tidak berasa sedih dan ingin kembali dengannya. Buang nombor si dia dan segala mesej yang terdapat dalam telefon bimbit anda.

5. Sibukkan diri – Lakukan apa sahaja kerja yang baik dalam kehidupan seharian anda supaya anda tidak terlalu memikirkannya. Sekiranya ada aktiviti, libatkan diri. Dengan itu boleh mengurangkan kesedihan yang melanda.

6. Muhasabah diri – Jangan ikutkan perasaan, terimalah hakikat bahawa dirinya bukan untuk anda. Ada yang lebih baik.

7. Berkawan dengan ramai orang – Janganlah kerana putus cinta anda tidak mahu bergaul. Namun, kawal pergaulan anda sebagai seorang muslimah. Menambah kenalan adalah baik dalam mengukuhkan ukhwah. Di samping itu anda akan berasa kesedihan putus cinta itu akan hilang sedikit demi sedikit.



Dengan perkongsian ini, diharapkan serba sedikit dapat membantu muslimah sekalian yang mungkin menghadapi masalah putus cinta. Sekali lagi diingatkan, bercinta tanpa ikatan yang sah adalah HARAM. Kesannya adalah seperti ini, PUTUS CINTA. Akhirnya diri sendiri yang merana.

Ayuh muslimah! Bangkitlah dengan kekuatan dirimu. Cinta manusia bukanlah segalanya, tetapi cinta kepada Allah cinta yang hakiki. Sampai suatu ketika, dengan adanya cinta terhadap-Nya, semoga Dia akan menjodohkanmu dengan lelaki yang mencintaimu untuk mendapat keredhaan-Nya.


“A girl and a guy can be just friends, but at one point or another they will fall for each other. Maybe temporarily, maybe at the wrong time, maybe too late, or maybe forever.”

Sulamkanlah cinta itu dengan ikatan yang SAH. Wallahua'lam.


P/s---->Ya Allah ku harap dia adalah terbaik untukku~(*_,*)







Sunday, June 27, 2010

Ukhuwah fillah









Wish for Hana comel...


* Thanks for everything...
* Jangan lupa aku ye... Forget me not...
* Semoga berjaya dalam exam nanti...
* Semoga bahagia di dunia dan akhirat... Insya Allah...
*Love you forever...


Sahabatmu,
Mardhiyyah


Hana tersenyum. Kad comel yang diterimanya 15 tahun lalu dipegang. Dia mencium kad itu. Tanpa disedari, air matanya menitis. Kenangan di alam persekolahan menerjah mindanya. Kenangan itu membawa seribu satu pahit manis alam persahabatan. Di waktu itu jugalah, dia banyak belajar tentang erti kehidupan. Dia masih ingat saat bersama dengan sahabat baiknya, Mardhiyyah. Sahabat sejati yang dicari-cari selama ini.




Walaupun rumah mereka berjauhan, mereka masih saling berhubung. Gembira bersama, sedih bersama, segalanya bersama. Hana bersyukur setelah ditawarkan bekerja di satu daerah yang sama dengan sahabat baiknya itu. Mardhiyyah banyak membantunya. Daripada masalah di sekolah, bahkan di tempat kerja sehinggalah ke masalah peribadi. Hinggakan calon suami pun Mardhiyyah sanggup tolong carikan.


Dia masih ingat kata-kata Mardhiyyah, mahu menjadi seperti Khaulah binti Hakim. Wanita solehah di zaman Rasulullah S.A.W. yang menjadi orang perantara untuk melamar Saudah Zam'ah untuk baginda Rasulullah. Beliau seorang pencari jodoh yang mulia dan dihormati. Mardhiyyah mahu mencontohinya. Dia mahu Hana mendapat suami soleh, bertanggungjawab, warak dan mampu membimbingnya ke jalan yang benar.


" Kau yang rajin sangat carikan suami untuk aku, kau tu bila lagi, Mardhiyyah? "


Hana teringat selorohnya kepada Mardhiyyah.


" Ala... Bukan selalu. Aku nak sangat tengok kau kahwin. Tengok anak-anak kau. Takut tak sempat pula nanti, " sambung Mardhiyyah.


" Ish... Kau ni. Mengarut je la. Nanti aku kahwin, kau jadi pengapitnya. Aku bersalin, kau jadi bidannya. Boleh janji? "


" Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: ‘Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi', kecuali (dengan menyebut): ‘Insya Allah'. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini. "


Pantas Mardhiyyah menyambung dengan membacakan tafsiran ayat 23 dan 24 dari surah Al-Kahfi. Begitu mendalam sekali maksud tafsiran itu.


Walaupun dilahirkan sebagai anak yatim piatu, Mardhiyyah bersyukur kerana telah dijaga dan diasuh oleh arwah neneknya, yang merupakan seorang guru agama. Dia telah terdidik dengan segala cabang ilmu agama sejak kecil. Bahkan, seawal usia 15 tahun dia sudah pun boleh menghafal 30 juzuk Al-Quran.


" Jadi, apa maksudnya, Ustazah Mardhiyyah?" Hana menyambung selorohnya.


Disebabkan kepetahan Mardhiyyah membicarakan hal-hal agama juga telah menyebabkan dia digelar ‘ustazah' di kalangan rakan-rakannya di sekolah.


" Insya Allah... Kalau umur aku panjang, bolehlah aku jadi pengapit dan ‘mak bidan' kau. Sebab itu aku tak mahu janji. Faham tak, anak muridku sayang? "


Lantas, Mardhiyyah mencuit hidung mancung milik Hana. Mereka berdua tertawa. Tidak menghiraukan suasana sekeliling. Hana teringat detik itu. Waktu itu. Kalaulah masa boleh diputar kembali, dia ingin saat itu terhenti. Kalaulah.


Tidak lama selepas itu, Hana telah dipertemukan dengan seorang pemuda yang kini menjadi ‘raja' dihatinya iaitu suaminya. Pertemuan yang tidak dijangka itu telah membibitkan rasa cinta antara mereka yang sudah semestinya bertunjangkan cinta kepada Rabbul Jalil. Semua itu aturan Ilahi yang telah diilhamkan kepada hambanya-Nya yang solehah. Hana sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu merupakan sepupu kepada Mardhiyyah. Begitu hebat sekali percaturan Yang Maha Kuasa.


Petang Rabu itu, Mardhiyyah mengajak Hana untuk sama-sama solat berjemaah di Masjid At-Taqwa. Kebetulan hari itu akan diadakan kuliah Maghrib di masjid tersebut. Memang menjadi rutin mereka untuk menghadiri mana-mana majlis ilmu yang dianjurkan.


" Majlis ilmu merupakan salah satu daripada taman-taman syurga Allah. Berpuluh ribu malaikat akan turut bersama kita dalam majlis seperti ini. Jadi, ambillah kesempatan ini untuk memohon tiga perkara daripada Allah. " Mardhiyyah mengingatkan.


" Perkara apa, Mardhiyyah? " soal Hana.


" Pertama, mohonlah syurga daripada Allah. Kedua, mohon supaya diri kita dijauhkan daripada api neraka dan ketiga, mohon diampunkan segala dosa-dosa kita. Insya Allah, Allah akan makbulkan permintaan hamba-Nya yang ikhlas. "


Hana tersenyum mendengar penjelasan itu. Berbunga hatinya lantaran takjub dengan kebesaran Illahi.


Usai solat Isya' berjemaah, mereka mengambil kesempatan untuk mengemas masjid itu. Al-Quran disusun dengan rapi. Telekung disangkut di tempatnya. Sejadah dilipat kemas. Sewaktu meletakkan sejadah di atas rak, Hana terpandang sebuah kitab yang mengandungi hadis-hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim. Dia begitu tertarik lantas dicapainya kitab itu. Tertib sekali dia membuka kitab itu agar tidak terkoyak mahupun rosak.


Satu persatu halaman kitab itu dibeleknya. Matanya terpaku tatkala membaca satu hadis Riwayat Bukhari yang bermaksud;


" Wahai pemuda! Sesiapa yang mampu akan maskahwin maka berkahwinlah kerana ia lebih merendahkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia menjadi perisai baginya. "


Hana tersenyum sendiri lantaran teringat kata-kata Mardhiyyah yang ingin mencari suami untuknya. Dia tidak menyedari, perbuatannya itu diperhatikan oleh seorang pemuda.


" Assalamualaikum. " Pemuda itu menyapanya. Hana terkejut.


Hampir-hampir sahaja kitab itu terlepas dari pegangannya. Dia beristighfar sambil mengurut-urut dadanya.


" Waalaikumsalam. " Cepat-cepat Hana menjawab. Dia tahu hukum menjawab salam adalah wajib.


" Maafkan saya. Saya tak berniat nak membuatkan saudari terperanjat tadi. "


Lembut dan tenang tutur kata pemuda itu sewaktu memohon maaf atas tindakannya itu.


" Oh... Tak ada apa. Saya yang leka sikit tadi. " Hana sempat mengerling ke arah pemuda itu lalu ditundukkan kembali pandangan matanya.


Subhanallah! Dia terpegun melihat ketampanan wajah pemuda itu. Riak wajahnya begitu tenang, bisa menggugat keteguhan iman seorang yang bernama wanita. Hana tidak berani mendongak ke arah wajah itu kerana tidak mahu terjerat dengan perangkap Iblis Laknatullah.


Dia teringat salah satu hadis Rasulullah yang menjadi pegangannya yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud:


" Rasa malu dan iman adalah sejoli. Bila yang satu lenyap, yang lainnya lenyap juga. "


" Saya Aiman Ashraff. Saudari? " tanyanya.


" Hana Insyirah. " Dia masih tunduk.


Pertemuan itu rupanya diatur oleh Mardhiyyah yang sedang asyik memerhatikan sahabatnya itu. Aiman merupakan seorang pensyarah agama di salah sebuah universiti dalam negara. Pertemuan itu juga merupakan titik permulaan ke alam perkahwinan bagi Hana yang disaksikan oleh berpuluh ribu malaikat di rumah Allah itu. Perkahwinan yang bakal menjanjikan kebahagiaan berumahtangga yang dilimpahi mawaddah wa rahmah dari Ilahi.


Dua minggu sebelum pernikahan Hana dan Aiman, Hana menerima 'SMS' daripada Mardhiyyah.


Doa dari seorang sahabat:


Ya Allah, jika sahabatku jatuh CINTA, berikanlah cintanya pada seseorang yang melebihkan cinta pada-Mu agar bertambah kekuatannya untuk menyintai-Mu. Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku jatuh HATI, izinkanlah hatinya menyentuh hati orang yang hatinya tertaut pada-Mu agar sahabatku tidak jatuh dalam jurang cinta yang murah. Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku RINDU, rindukanlah dia kepada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu, jagalah rindunya pada-Mu agar dia tidak lalai dari merindui syurga-Mu... Amiin...


Hana terkedu. Sebak mencengkam dadanya. Terasa sesak nafasnya tatkala membaca 'SMS' itu. Hana berdoa dalam hatinya.


" Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana telah menemukan aku dengan sahabatku, Mardhiyyah. Segalanya atas izin-Mu jua. Kau limpahkanlah rahmat ke atasnya. Kekalkanlah persahabatan ini hingga ke akhir hayat kami. Amiin. "


Dengan sekali lafaz, Hana selamat diijab kabulkan dengan Aiman. Air matanya bergenang.


" Sekarang kau dah jadi isteri orang. Tak lama lagi, jadi ibu orang pula. Ingat, tanggungjawab kau makin besar. Jangan sesekali abaikan tanggungjawab kau tu. Syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya tau, " bisik Mardhiyyah. Hana mengangguk.


" Syukran, Mardhiyyah. " Hana mencium pipi sahabatnya itu. Terasa bagaikan ada aura yang mengalir. Mereka tersenyum.


Tidak lama kemudian, Mardhiyyah pula mengikut jejak langkah Hana. Jodohnya dengan seorang peguam syariah, Luqman Hakim namanya. Namun, segalanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Suaminya telah kembali ke rahmatullah sewaktu dia mengandung anak kedua. Suaminya pergi semasa sedang tidur. Mardhiyyah tidak menangis, apatah lagi meratap. Dia begitu tenang sekali menghadapi saat-saat itu. Dia redha. Jodoh, ajal, maut semuanya dalam genggaman Rabbul Alamin.


" Sabarlah, Mardhiyyah. Allah lebih sayangkan suamimu. Panjatkanlah doa agar rohnya tenang di sisi para solihin, " Hana menenangkannya.


Dia tahu betapa luluhnya hati Mardhiyyah tika itu. Mereka berpelukan. Tiada kata yang mampu diucapkannya.


Usia kandungan Mardhiyyah sudah mencecah lapan bulan. Semenjak kematian suaminya, dia banyak bersendirian, beribadah kepada Allah disamping menjaga anak sulungnya yang berusia 5 tahun.


" Hana, aku nak minta tolong sesuatu dari kau, boleh? " ujar Mardhiyyah pada satu petang. Petang yang begitu hening.


" Insya Allah... aku akan cuba penuhi permintaan kau tu. "


Mardhiyyah menarik nafas panjang.


" Kalau aku dah tak ada nanti, boleh tak kau jaga anak aku, Amirul dan ‘baby' yang bakal lahir ni? " Mardhiyyah mengusap-usap perutnya dengan penuh kasih sayang.


" Ish... Kau ni. Kenapa cakap macam tu pulak? Kan kita dah janji akan jaga anak kau sama-sama. " Hana gusar.


Mardhiyyah memegang perutnya.


" Nanti ‘baby' jangan nakal-nakal tau. Jadi anak solehah. Jangan degil. Jangan gaduh dengan Abang Amirul. Ummi sayang anak-anak ummi. "


Hana sebak. Dia tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.


" Hana, nanti kau namakan ‘baby' ni... Khaulah... Ummu Khaulah. "


Mardhiyyah tersenyum. Mungkin senyuman terakhir. Senyuman yang bisa merungkaikan segala kesulitan di hati seorang sahabat.


" Ya, Mardhiyyah. Aku akan buat apa saja untuk kau, " Hana menahan tangisnya.


" Insya Allah? " ujar Mardhiyyah.


" Insya Allah, Mardhiyyah. "






***






" Mama! "


Lamunan Hana terhenti. Ummu Khaulah berlari-lari ke arahnya.


" Ya, sayang. Belajar apa di tadika hari ni? " tanya Hana sambil merangkul tubuh si kecil itu.


" Hari ni Khaulah belajar melukis, ma. Cikgu tu cakap, lukisan Khaulah cantik. Besar nanti boleh jadi pelukis. Mama, boleh jual tak lukisan ni? Boleh tambah duit poket. "


Hana tersenyum mendengar kepetahan Khaulah.


" Ada orang nak beli ke lukisan ni nanti? Lagi satu, besar nanti nak jadi pelukis ke? " gurau Hana.


" Tak lah, mama. Khaulah nak jadi doktor Islam. Lukisan tu mama lah yang beli. " sambung Khaulah sambil ketawa.


Hana mengucup dahi Khaulah. Dia berasa begitu bahagia.


Mardhiyyah,
Dah enam tahun kau tinggalkan kami. Kau pergi di saat melahirkan Khaulah. Kau pernah beritahu aku. Mati semasa melahirkan anak merupakan salah satu tanda mati Husnul Khatimah. Amirul dan Khaulah aku jaga macam anak-anak aku sendiri. Masing-masing dah bersekolah. Khaulah mewarisi kepetahanmu dan Amirul mewarisi kesabaranmu. Amirul banyak bersabar dengan kerenah keanak-anakan adiknya itu. Kedua-duanya bijak seperti kau dulu. Janjiku pada kau akan aku laksanakan sebaiknya. Insya Allah... Aku terlalu merinduimu, Mardhiyyah. Rindu saat-saat dulu. Terima kasih atas segalanya. Kaulah sahabatku, selama-lamanya. Doaku agar rohmu ditempatkan di kalangan para syuhada'. Amiin.


Hana menyimpan semula kad itu. Air matanya mengalir lagi.